Menjawab Cabaran Kerosakan Ilmu (Catatan Perkuliahan SNL 17th Series - Session 3)
- adabnetwork
- Jun 9
- 9 min read

Kekalahan dan kemunduran yang dialami umat Islam di pelbagai bidang sejak abad ke-13 hingga era kolonialisme, mendorong ramai tokoh Muslim memikirkan jalan terbaik mengatasi cabaran ini. Ragam usaha telah dilaksanakan untuk mengejar ketertinggalan dari peradaban Barat. Tetapi, meskipun telah puluhan tahun terbebas daripada bangsa penjajah, negara-negara Islam masih mengalami keterbelakangan.
Risau dengan keadaan yang demikian, First Secretary-General of the Organisation of Islamic Cooperation, Tunku Abdul Rahman (w. 1990), mengirimkan surat kepada para pemikir Muslim kala itu untuk melayangkan satu soalan utama: apa persoalan mendasar umat Islam saat ini dan bagaimana menyelesaikannya?
Sebagai salah seorang pemikir Muslim yang menerima surat tersebut, Prof. Al-Attas dengan tegas menjawab: secara zahir umat Islam memang menghadapi pelbagai persoalan lintas dimensi, namun apa yang menjadi akar daripada persoalan itu ialah kerosakan ilmu. Jawaban inilah yang kemudian menginspirasi para tokoh Muslim dunia untuk menganjurkan the First World Conference on Muslim Education di Makkah pada 1977, demi membincangkan perkara-perkara asasi dalam pendidikan di dunia Islam.

Perhatian Prof. Al-Attas terhadap persoalan umat Islam secara ‘am, dan kerosakan ilmu secara khas, telah pun terzahirkan sebelumnya dalam karyanya Risalah Untuk Kaum Muslimin (disiapkan pada 1973). Karya ini mengandungi pelbagai jawaban Prof. Al-Attas terhadap persoalan keilmuan yang dialami umat Islam, merangkumi pembahasan mengenai sejarah, falsafah, bahasa, kebudayaan, sains, dan lain-lain. Karya ini menghimpun idea-idea pokok beliau, yang nantinya dihuraikan kembali oleh beliau dalam bahasa Inggeris, di antaranya Islam: The Concept of Religon and the Foundation of Ethics and Morality (1976), Islam and Secularism (1978), The Concept of Education in Islam (1980), Islam and the Philosophy of Science (1989), The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul (1990), dan sebagainya.
Dalam risalah tersebut, Prof. Al-Attas mengatakan bahawa telah terjadi perubahan dalam minda umat Islam yang membuat pelbagai hal kini menjadi bermasalah. Beliau memberikan perumpamaan daripada kisah seorang gadis cantik jelita yang terkenal di suatu tempat. Setiap hari orang berduyun-duyun datang hanya untuk menziarahinya, mengagumi keindahannya. Namun, lama-kelamaan, wajah gadis itu semakin menua. Orang-orang mulai meninggalkannya, hingga tiada lagi yang mau melihatnya kecuali beberapa orang sahaja.

Ketika seorang pengunjung baru datang dan melihat tempat tersebut tiada lagi diziarahi oleh ramai orang, dia bertanya kepada yang masih berada di tempat itu: mengapa orang-orang pergi dan kalian bertahan? Kalangan yang masih setia itu menjawab: mereka hanya melihat sang gadis dari sisi zahir sahaja, sementara kami tidak hanya berhenti pada itu, kami melihat sisi batin yang lebih dalam dan tak berubah daripadanya.
Demikianlah kebanyakan orang ketika menilai Islam. Pandangan mereka hanya terhad pada aspek zahir yang berubah-ubah, hingga melupakan aspek batin yang sejatinya lebih asasi dan kekal. Alhasil, ketika mereka melihat adanya kemunduran dalam ehwal kebendaan, seperti ekonomi, politik, dan teknologi dalam tubuh umat Islam, mereka mengira Islam tidak lagi relevan dan kemudian beralih kepada Barat sebagai alternatif. Prof. Al-Attas memahami bahwa persoalan umat Islam bukanlah semata-mata perkara kebendaan, melainkan sesuatu yang sifatnya batin dalam diri kita, yakni ilmu.
Dilema Umat Islam
Prof. Wan menyampaikan bahawa kerosakan ilmu yang dimaksud oleh Prof. Al-Attas tidaklah sama dengan kebodohan. Sebab, seseorang boleh jadi menguasai dan memahami ilmu dalam tingkatan pendidikan tertentu, namun ilmu yang dia pelajari justeru membuatnya keliru dalam memandang kebenaran dan realiti.
Kerosakan ilmu ini, mengutip penjelasan Prof. Al-Attas, menyebabkan keadaan keruntuhan adab dalam masyarakat. Keruntuhan adab membuat masyarakat tidak mampu mengenal dan memilih pemimpin yang baik. Akibatnya, pemimpin-pemimpin palsu muncul di pelbagai bidang, yang pada saat yang sama meneruskan kerosakan dan kekeliruan ilmu, serta memastikan para pemimpin seperti mereka tetap memegang kendali di masa hadapan. Inilah yang disebut Prof. Al-Attas sebagai “lingkaran setan” yang menjadi dilema umat Islam hari ini (sila rujuk Islam and Secularism, ms. 106).
Di antara contoh bagaimana para pemimpin palsu meneruskan kerosakan ilmu dan hilangnya adab di tengah umat, adalah tindakan mereka dalam menyamaratakan setiap ilmu dan ahli ilmu. Mereka cenderung lebih menyokong para pelajar dan sarjana untuk mengkaji ilmu atau keterampilan yang membawa kepada kepentingan ekonomi dan kebendaan, serta mengabaikan ilmu yang menguatkan pemahaman mengenai perkara yang lebih asasi, seperti pandangan alam.
Bagaimana kita memutuskan lingkaran ini? Ada kalangan berpandangan bahawa persoalan umat Islam boleh diselesaikan dengan kepemimpinan politik. Prof. Wan tidak sependapat dengan itu. Dalam pandangan beliau, bertumpu kepada kepemimpinan sahaja tidak cukup, jika ilmu yang difahami dan dilaksanakan oleh umat masih rosak. Bagaimana kita boleh mengangkat para pemimpin yang tepat, jika masyarakat tiada ilmu untuk memilih dan menyokong pemimpin yang tepat itu.
Jika kita memahami bahwa lingkaran setan ini dapat diatasi dengan ilmu yang tepat, lantas bagaimana mengenal pasti dan mengajarkan ilmu yang tepat itu? Di sinilah Prof. Al-Attas mengatakan bahawa langkah yang perlu dilakukan terlebih dahulu adalah mengatasi persoalan adab.
Prof. Wan menjelaskan, dengan menyelesaikan persoalan adab, kita akan mengenal dan mengakui mana ilmu yang tepat dan yang rusak, serta siapa yang pantas untuk mengajarkannya dengan cara yang tepat. Beliau menegaskan bahawa adab perlu dilaksanakan sepanjang waktu; tidak hanya sebelum mengkaji suatu ilmu, tetapi juga selama proses belajar itu sendiri, atau selama hayat masih dikandung badan. Dengan demikian, melalui penanaman adab, maka kita dapat mengajarkan dan melaksanakan ilmu yang tepat, yang pada masanya juga mencegah kemunculan para pemimpin palsu yang tiada berilmu.
Ilmu sebagai Keistimewaan Manusia
Kita telah melihat bahawa ilmu menjadi pokok pembahasan dalam perbincangan ini. Hal itu disebabkan ilmu adalah elemen paling utama dalam penciptaan manusia dalam pandangan Islam. Dalam karyanya On Justice and the Nature of Man (2015), Prof. Al-Attas menjelaskan bahawa ilmu ialah keistimewaan yang hanya diberikan kepada manusia sebagai khalifah di Bumi, di samping menjadi hamba sebagaimana mahluk-mahluk lainnya. Beliau juga mentafsirkan peniupan ruh ke dalam diri manusia, yang dijelaskan dalam Surah al-Hijr ayat 29, sebagai peniupan al-nafs al-natiqah (jiwa rasional atau akal) ke dalam diri manusia, yang memampukan manusia untuk mencerap dan menyampaikan ilmu.
Imam al-Ghazali, dalam Misykat al-Anwar, mengatakan bahwa al-nafs al-natiqah ini telah sempurna, maknanya ia tidak akan menghasilkan kekeliruan. Namun, mengapa ada manusia yang melakukan kesalahan? Sang Imam menjawab, itu bukan disebabkan oleh al-nafs al-natiqah, melainkan oleh adanya kesilapan pada daya-daya lainnya dalam diri manusia. Misalnya, seorang yang cerdas boleh jadi membuat kesilapan, bukan kerana akalnya tidak sempurna, melainkan kerana lupa dan lain sebagainya.
Aqidah dan ilmu sangatlah berkaitan dalam pandangan alam Islam. Hubungan ini, menurut Prof. Wan, dapat kita lihat daripada rangkaian ayat 1-5 dalam surah al-Alaq. Dalam rangkaian ayat tersebut, Allah memerintahkan manusia untuk “membaca dengan nama-Nya”. Prof. Wan menjelaskan, bahwa perintah ini dimaksudkan agar manusia mengenal Allah SWT. Sebab, bagaimana mungkin kita dapat membaca dengan nama-Nya jika kita tidak memiliki ilmu tentang-Nya? Pada rangkaian ayat yang sama pula, Allah SWT menekankan bahwa Dia adalah Guru bagi manusia, di mana segala ilmu tiada lain adalah pemberian-Nya.
Sebahagian sarjana Barat mengkritik aqidah Islam bersifat kaku dan tidak dapat menerima perkembangan zaman. Memang, tidak seperti agama lain yang harus melewati pelbagai perkembangan dalam membentuk pandangan alam dan praktek keagamaannya, Islam telah sempurna sejak awal sebagaimana yang disampaikan Allah dalam al-Qur’an (al-Maidah: 3). Jika ada perubahan dalam perkara-perkara asasi tersebut, maka itu disebut sebagai perosakan atau bid’ah.
Perbincangan mengenai hubungan yang mesra antara aqidah Islam dan ilmu juga tidak luput dari uraian Prof. Al-Attas. Melalui karyanya, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqa’id of al-Nasafi (1988), beliau menguraikan asas epistemologi dalam aqidah Islam; dan terlebih lagi, membuktikan bahawa perbincangan ilmiah semacam ini telah dilakukan di Alam Melayu sejak ratusan tahun yang lalu.
Kitab Aqa’id al-Nasafi diawali dengan pembahasan bahawa “...hakikat segala sesuatu itu thabit adanya dan pengetahuan akan dia sebenarnya, bersalahan dengan qawm Sufasta’iyyah” (sila rujuk The Oldest Known Malay Manuscript, ms. 53). Dalam penjelasan Prof. Wan, kalimat ini bermakna segala sesuatu memiliki hakikatnya sendiri sehingga manusia dapat mengetahuinya secara pasti. Keyakinan ini mengantarkan kita kepada penafian terhadap pandangan kaum Sufastaiyyah, yang berpandangan bahawa manusia tidak akan mengetahui segala sesuatu secara pasti.

Ada tiga golongan kaum Sufastaiyyah yang kerap disebutkan oleh para ulama. Pertama, al-La Adriyyah (agnostik), mereka yang merasa tidak tahu atas hakikat segala sesuatu. Kedua, al-Indiyyah (relativis/subjektivis), mereka yang berpandangan ilmu bergantung kepada setiap orang. Ketiga, al-Inadiyah (degil), mereka meragukan kebenaran segala sesuatu bahkan ketika disampaikan dengan tepat. Jika seseorang menerima salah satu di antara kategori ini, menurut Al-Attas, ia tidak hanya merosakkan agamanya tetapi juga bangunan ilmu itu sendiri.
Ketidaktahuan pada tingkatan awal kehidupan manusia, kata Prof. Wan, adalah suatu yang wajar, tetapi hal ini tidak bermakna manusia akan berada dalam keadaan demikian seumur hidupnya. Kita mengakui ada aspek yang dapat berubah dalam ilmu, namun ada pelbagai perkara asasi yang kekal dalam ilmu. Prof. Al-Attas dalam sejumlah tulisannya, sebagaimana yang disebut oleh Prof. Wan, mengatakan “virus” Sufastaiyyah ini telah menjangkiti, tidak hanya dalam universiti tetapi juga masyarakat. Mereka yang terperangkap dalam pandangan ini merasa bangga dengan kebodohannya, dan menafikan orang-orang yang berilmu. Inilah yang menjadi salah satu sumber kerosakan ilmu yang menyebabkan pelbagai persoalan umat manusia.

Sesi Soal-Jawab
Apakah kita dapat mengatakan bahawa kekeliruan yang dilakukan oleh para filsuf terdahulu mengenai prinsip kewujudan paling asas ialah tanda Allah telah menyesatkan mereka, seperti halnya teknologi AI yang kini ramai mengelirukan manusia?
Allah memang memberikan petunjuk kepada sebahagian manusia dan menyesatkan sebahagian yang lain. Tetapi, manusia pula diberikan kebebasan untuk berpikir, bahkan diwajibkan untuk melakukannya. Para filsuf purbakala yang keliru tersebut hidup di zaman ketiadaan Nabi, sehingga mereka banyak berspekulasi dan tiba pada kesimpulan yang keliru tanpa petunjuk yang sesuai. Tetapi, Prof. Wan tidak mengatakan bahawa mereka telah “disesatkan”, sebab mereka tidak bermaksud untuk melawan Tuhan secara langsung. Kekeliruan mereka dapat diwajarkan, memandangkan mereka tidak akan dapat mengetahui perkara tersebut dengan baik tanpa dipandu oleh wahyu.
Namun, di zaman moden saat ini, kekeliruan yang ditujukan sebagai penafian terhadap apa yang disampaikan oleh wahyu tidak dapat diterima. Segala ilmu berkenaan telah diturunkan secara sempurna, dan peluang untuk mengetahuinya telah terbuka begitu luas.
Berkaitan dengan AI, ramai sarjana yang merasa khuatir terhadap perkembangannya, kerana kebenaran dan kekeliruan di dalamnya seakan semakin sulit dikenali. Dalam pengkajian Islam, misalnya, orang-orang yang terlalu mengandalkan hadis rumusan AI akan semakin kehilangan kemampuan untuk mengkaji dan mengenal pasti teks-teks asli. Tidak hanya itu, dalam konteks disiplin ilmu yang lebih luas, AI kini seakan menggantikan orang-orang berilmu sebagai “guru” manusia; bahkan AI menjadi dasar pelbagai arahan dan keputusan para pemimpin. Itulah mengapa sebahagian cendekiawan risau akan wajah masa depan umat manusia, jika AI tidak dikendalikan secara ketat.
Bolehkah anda menjelaskan setakat mana kita dapat menafsirkan al-Qur’an dengan cara yang saintifik?
Al-Qur’an bukanlah buku sains ataupun sejarah, melainkan buku petunjuk bagi umat manusia. Tetapi, apapun data saintifik dan sejarah yang disebutkan dalam al-Qur’an ialah benar, kerana ia merupakan wahyu Allah dan dijaga oleh bahasa asli yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Saw. Barangkali apa yang kita maksud sebagai saintifik berubah-ubah sepanjang zaman, tetapi kebenaran yang ada dalam al-Qur’an tidak pernah berubah.
Prof. Al-Attas sendiri mengambil kaedah saintifik daripada ayat-ayat metafisik dalam al-Qur’an. Di antaranya, beliau mengambil prinsip batas kebenaran bagi setiap objek ilmu daripada peristiwa Isra Mi’raj Nabi Saw dan keadaan fana’ yang dialami Nabi Musa di gunung Sinai ketika hendak bersua secara spiritual dengan Allah.
Prof. Al-Attas menjelaskan bahawa petunjuk yang diberikan al-Qur’an tidak patut dipandang secara terpisah-pisah. Beliau melakukan pendekatan ilmiah yang bersifat tauhid, di mana segala ilmu dan nilai yang terkandung di dalamnya saling terhubung satu sama lain. Misalnya, ketika menjelaskan tentang kisah perjalanan Siti Hajar mencari air di antara Safa dan Marwa, beliau tidak hanya menguraikan kisah ini daripada aspek sejarah semata-mata, tetapi juga mengandungi aspek moral dan spiritual. Dalam pandangan Prof. Al-Attas, kisah ini tiada lain adalah bentuk penghormatan Islam kepada perempuan, yang kemudian diabadikan dalam rangkaian ibadah haji sebagai salah rukun Islam.
Pentafsiran yang mendalam atas kisah dalam al-Qur’an juga dilakukan oleh Muhammad Iqbal (w. 1938). Iqbal pernah mengomentari perkataan seorang Sufi, Abdul Quddus Gangohi (w. 1537), yang mengatakan jika dia adalah Muhammad yang mencapai tempat yang dekat dengan Tuhan (dalam peristiwa Isra Mi’raj), maka ia tidak akan kembali kerana itulah tujuan kehidupan. Iqbal mengatakan, hal itu tidak terjadi kerana Nabi Muhammad tidak pernah memikirkan itu sama sekali; beliau memilih untuk kembali kerana hendak menyelesaikan amanah yang diberikan Tuhan padanya.
Al-Qur’an memiliki lapisan-lapisan makna, di mana penyingkapan makna itu ditentukan dari seberapa dalam kemampuan intelektual dan kebijaksanaan seseorang. Inilah, bagi Prof. Wan, yang membezakan pentafsiran seorang yang berilmu dengan orang awam.
Bagaimana pandangan anda mengenai ideologi nasionalisme atau ashabiyyah di negara-negara Muslim yang didasarkan pada sejarah sebelum kedatangan Islam?
Nasionalisme tidak sepenuhnya salah dalam pandangan Islam. Sebahagian ulama bahkan menyebutkan: hubb al-wathan min al-iman (mencintai tanah air ialah sebahagian daripada iman). Ulama menjelaskan ada dua bentuk ashabiyyah: ashabiyyah Islamiyah dan ashabiyyah jahiliyyah. Yang pertama didasarkan pada nilai-nilai Islam, sementara yang kedua didasarkan pada nilai-nilai yang anti dengan Islam.
Ada beberapa negara muslim yang memang menubuhkan semangat nasionalismenya dengan merujuk kepada sejarah bangsanya di masa lampau. Hal ini tidaklah sepenuhnya keliru, ungkap Prof. Wan. Menurut beliau, Islam tidaklah menafikan pengalaman masyarakat terdahulu sebelum kedatangannya, kerana ada banyak pelajaran yang boleh didapatkan daripada itu.
Tetapi meletakkan semangat nasionalisme yang didasari oleh sejarah sebelum kedatangan Islam lebih tinggi dibandingkan dengan Islam itu sendiri adalah suatu tindakan yang keliru. Sebab, dalam konteks negara-negara yang didominasi oleh Muslim, Islam yang sepatutnya memandu mereka untuk menjadi moden dengan landasan ilmu, bukan moden dalam pandangan sekular yang diajukan oleh Barat.
Apakah falsafah pendidikan Islam yang diajukan Prof. Al-Attas dapat dilaksanakan dalam pendidikan di Malaysia, memandangkan terdapat orang-orang yang berbeda keyakinan dengan Islam?
Falsafah pendidikan tersebut tentu dapat dilaksanakan, asalkan melalui pemahaman dan pengamalan yang tepat. Tidak dengan kekuatan politik, melainkan pendidikan itu sendiri. Dalam pandangan Prof. Wan, idea tidak dapat disebarkan dengan kekuasaan politik, kerana jika kekuasaan itu hilang, maka idea itu pun akan bernasib sama. Namun, ketika suatu idea dikembangkan dan disebarkan dengan pendidikan, maka, meskipun “perumus” idea tersebut telah tiada, idea itu akan tetap hidup dan dilanjutkan oleh para pendokongnya. Itulah yang terjadi pada ajarannya Nabi Saw dan juga para ulama pewarisnya.
Prof. Al-Attas pernah menulis bahawa kepelbagaian agama di Malaysia bukanlah suatu kelemahan, melainkan kekuatan. Kekuatan ini tidak boleh didasari dengan pemahaman yang keliru, seperti sebahagian kalangan yang menilai sama kebenaran semua agama. Ia mesti didasari oleh pemahaman bahawa meskipun setiap agama memiliki perbezaan, namun ada pengajaran sejagat atau universal yang mirip di antara agama-agama yang ada, seperti penghormatan kepada keadilan, kebenaran, lingkungan, dan lain-lain, di mana perkara-perkara ini dapat mengantarkan kita bekerjasama secara harmoni.
Dengan demikian, falsafah pendidikan ini tidak hanya dapat diwujudkan dalam masyarakat Muslim, tetapi juga dalam masyarakat non-Muslim. Untuk meyakinkan falsafah ini kepada orang lain, tentu hal ini perlu difahami terlebih dahulu oleh umat Islam, sebelum diajukan dan dilaksanakan bersama umat agama lain.
Ditulis oleh : Azzam Habibullah (Pegawai Eksekutif AIN)
Disemak oleh : Dr. Nurhazieqa (Pensyarah Kanan RZS-CASIS UTM)



Comments