top of page

Menyambung Tradisi, Mengatasi Persoalan Kontemporari (Catatan Perkuliahan Saturday Night Lecture 17th Series - Session 1)

RZS-CASIS Saturday Night Lecture merupakan program ilmiah yang mewarisi tradisi kuliah istimewa yang pernah dianjurkan oleh International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC) pada tahun 1992 hingga 2002. Siri kuliah ini pada asalnya disampaikan oleh Profesor Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas dan sejumlah sarjana ulung lainnya sebagai suatu wadah keilmuan untuk membentangkan tema-tema penting berkaitan dengan pemikiran dan peradaban Islam.


Selepas penubuhan Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation Universiti Teknologi Malaysia (RZS-CASIS UTM ) pada tahun 2011, program ilmiah ini kembali menjemput Prof. Al-Attas sebagai pensyarah utama sehingga tahun 2017. Setelah itu, syarahan diteruskan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, iaitu Pengasas dan mantan Pengarah RZS-CASIS, serta Penyandang Kerusi Pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas yang pertama. Pada tahun 2025, kerusi ini disandang oleh Prof. Alparslan Açıkgenç daripada Ibn Haldun University Turki sebagai Penyandang Kerusi Pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas yang kedua.


Pasca kewafatan Prof. Al-Attas pada 8 Mac 2026, timbul suatu keperluan untuk menelusuri, memahami dan mengembangkan gagasan-gerakan keilmuan yang telah diusahakan oleh beliau. Sehubungan dengan ini, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud kembali hadir dalam Saturday Night Lecture 17th Series untuk membentangkan karya monumental beliau bertajuk The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization.  Berikut adalah catatan perkuliahan pada sesi pertama yang dilaksanakan pada 4 April 2026 di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia.

 

Peranan al-Attas sebagai Ilmuwan Muslim Dunia

 

            Jika ditelusuri susur galur para ulama di Alam Melayu, terdapat ramai tokoh ilmuan yang memainkan peranan penting dalam proses pengislaman masyarakat di rantau ini. Pada abad ke-12 kita dapat menemukan peranan daripada keturunan Imam Muḥammad Ṣāḥib al-Marbāṭ daripada Yaman. Dalam kurun waktu abad ke-16 hingga 17, Alam Melayu dipenuhi oleh pelbagai cendikiawan besar, di antaranya Ḥamzah al-Fanṣūrī (w. 1590), Nūr al-Dīn al-Rānīrī (w. 1658), Shams al-Dīn al-Sumatrānī (w. 1630), ʿAbd al-Raʾūf al-Singkilī (w. 1693), dan Yūsuf al-Maqassarī (w.1699).


Memasuki abad ke-18 hingga 19, proses pengislaman dilanjutkan pula oleh para tokoh seperti ʿAbd al-Ṣamad al-Falimbānī (w. 1789), Muḥammad Arshad al-Banjārī (w. 1812), Wan Dāwūd al-Faṭānī (w. 1847), Nawawī al-Bantanī (w. 1897), serta Aḥmad Khaṭīb al-Minangkabāwī (w.1916). Hingga abad ke-20, muncul pula tokoh tersohor seperti Muḥammad Yāsīn al-Fādānī (w. 1990), dan juga para alim ulama yang melalui jaringan sanad keilmuwannya. Sumbangan pemikiran dan karya mereka bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Alam Melayu, bahkan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Prof. Wan dalam syarahannya menjelaskan bahawa Prof. Al-Attas mempunyai peranan yang unik dan istimewa berbanding para pendahulunya di atas. Menurut beliau, al-Attas adalah ilmuan Alam Melayu pertama yang bukan sahaja mempengaruhi para pemikir Muslim dunia, bahkan dapat diterima merentasi pelbagai madzhab pemikiran.


Karya-karya beliau, selain mampu mengenalkan dan menghuraikan kembali warisan pemikiran ulama terdahulu, malah turut menerokai idea dan konsep kunci daripada tradisi intelektual Islam terdahulu; menyelesaikan persoalan yang belum terjawab; menganalisis cabaran umat Islam, baik yang bersifat dalaman (kekeliruan ilmu, keruntuhan adab, kemunculan pemimpin yang tidak layak), maupun luaran (sekularisme-sekularisasi sebagai program falsafah); dan seterusnya merumuskan jalan penyelesaian persoalan tersebut, yakni melalui uraian metafisika Islam, konsep Islamisasi Ilmu, serta Universitas Islam yang tidak berhenti pada tataran teori, melainkan wujud dalam bentuk yang konkrit pula.


Ideanya mengenai Universiti Islam telah termanifestasi dalam penubuhan pelbagai kampus yang hebat, seperti Universitas Kebangsaan Malaysia, International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), dan Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies of Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS). Selama puluhan tahun, kampus-kampus tersebut berjaya melahirkan para sarjana ulung yang siap sedia melanjutkan tradisi keilmuwan Islam yang ditubuhkan oleh Nabi Muhammad SAW, dan juga menegakkan adab sesuai bidang keilmuan masing-masing.


International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC)
International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC)

 

Pengiktirafan Karya dan Pemikiran al-Attas

 

Penerjemahan buku-buku al-Attas ke banyak bahasa merupakan bukti betapa pemikiran beliau diiktiraf dalam dunia akademik global. Buku Islam and Secularism (1978), misalnya, telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Urdu, Turkiye, Mandarin, dan Farsi. Karya monumental al-Attas ini telah memberikan banyak manfaat bagi umat Muslim di berbagai kawasan di dunia. Prof. Wan bercerita, ketika sarjana Muslim Amerika, Syaikh Hamzah Yusuf, menemubual al-Attas pada tahun 2008, Syaikh Hamzah mengaku telah membaca Islam and Secularism sebanyak tiga kali, dan selalu merujuk buku tersebut setiap menghadapi persoalan keilmuwan. Bahkan, kepada Prof. Wan, Syaikh Hamzah menyebut buku ini adalah buku terbaik yang pernah ditulis sarjana Muslim dalam 100 tahun terakhir.


Kata-kata Syaikh Hamzah tidaklah jauh panggang daripada api. Dalam pengkajian Prof. Wan, melalui buku tersebut, al-Attas dengan tepat mengenal pasti persoalan mendasar umat Islam, di mana pengenalan ini sahaja merupakan setengah daripada solusi. Dalam pandangan Prof. Wan, jika kita salah mengenal persoalan, maka apapun solusi yang diberikan akan sia-sia belaka. Beliau memberikan contoh: Covid-19, flu biasa, dan influenza adalah tiga penyakit yang meskipun tampak menjukkan gejala yang sama secara luaran, namun hakikatnya ketiga penyakit itu berbeda, sehingga ubat dan perawatannya pun berbeda pula. Al-Attas tidak hanya mengungkap akar persoalan tersebut, tetapi juga menelusuri darimana dia berasal, dan merumuskan jalan paling strategis untuk mengatasinya.


Prof. Al-Attas dan Syaikh Hamzah Yusuf
Prof. Al-Attas dan Syaikh Hamzah Yusuf

Buku Islam and Secularism juga begitu dihargai oleh kalangan sarjana di Iran. Penterjemah buku ini ke bahasa Farsi ialah Prof. Ahmad Aram. Beliau adalah di antara penerjemah tersohor di Iran, terutama dalam karya-karya falsafah, di mana beliau dikenal sangat selektif dalam memilih karya yang layak diterjemahkan. Pada tahun 2002, Society for the Appreciation of the Cultural Works and Dignitaries yang kala itu dipimpin oleh Prof. Mehdi Mohaghegh menganjurkan persidangan untuk membahas karya-karya al-Attas yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Farsi. Prof. Wan dijemput untuk membentangkan makalah mengenai al-Attas di hadapan lebih kurang 200 sarjana, baik daripada Iran maupun Barat.


Fenomena ini menarik, sebab jarang sekali di kalangan sarjana Iran – yang sebahagian besar bermadzhab Syiah – menterjemahkan dan membahaskan karya-pemikiran sarjana Sunni. Berdasarkan komentar dari salah satu sarjana, sebagaimana yang dikutip oleh Prof. Wan, karya-karya al-Attas tidak hanya “milik” Sunni, mereka adalah uraian falsafah Islam yang mendalam dan merentasi pelbagai madzhab. Hal ini selaras dengan ajaran al-Attas, bahawa antara Sunni dan Shiah boleh jadi ada perbedaan dalam fiqh, kalam, dan siyasah; namun keduanya dapat bersepakat di tingkat metafisika (worldview).  


Penghargaan para tokoh Iran terhadap al-Attas juga membuatkan beliau beroleh jemputan Presiden Mohammad Khatami dalam lawatannya ke Malaysia beberapa waktu lepas. Prof. Wan mengenang, ketika menemani al-Attas dalam perjumpaan tersebut, sang Presiden tampak begitu senang dan hormat. Beliau dengan tulus membentangkan kedua tangan, sambil berkata, “Your wisdom has guided us in Iran” (Kebijaksanaanmu telah menuntun kami di Iran).


Di samping pelbagai penghargaan daripada para cendekiawan Iran, sosok al-Attas juga amat tersohor di kalangan sarjana Rusia. Buku Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995) telah diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia atas usaha Dr. Sayyid Camil-ef  daripada Institute of Islamic Civilization di Moscow, Rusia. Kerja ilmiah ini melibatkan Russian Academy of Science, yang pada tahun 2001 melaksanakan pelancaran buku ini dengan menjemput ratusan sarjana Russia.


Salah satu ilmuwan dalam acara tersebut, kenang Prof. Wan, mengiktiraf bahawa buku ini menyajikan satu pembahasan agama dengan cara yang benar-benar saintifik. Buku Prolegomena versi bahasa Rusia ini kemudian dicetak sebanyak 3,000 salinan, dan diedarkan ke sejumlah universitas di Russia. Selang beberapa masa, buku Al-Attas lainnya bertajuk The Concept of Education juga diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia. Prof. Wan bahkan sempat dijemput untuk menyampaikan syarahannya mengenai konsep pendidikan Islam yang dirumuskan oleh al-Attas, menunjukkan bahawa pemikiran al-Attas cukup diiktiraf dalam perbincangan ilmiah di negara tersebut.

 

Perjumpaan dengan Al-Attas yang Bermakna

 

Perjumpaan Prof. Wan dengan Prof. Al-Attas pertama kali terjadi di Chicago sekitar tahun 1981. Ketika itu, Prof. Fazlur Rahman meminta Prof. Wan membantu al-Attas yang tengah melakukan pengkajian kitab Hujjat al-Siddiq li-Daf' al-Zindiq karya Nuruddin al-Raniri sebagai Penyandang Kerusi Tun Abdul Razak Pertama di Ohio University. Prof. Fazlur Rahman mengatakan kepada Prof. Wan bahawa al-Attas adalah ilmuan genius, suatu pengiktirafan istimewa yang keluar dari lisan seorang sarjana dunia, yang bahkan memiliki madzhab pemikiran berbeza dengan al-Attas.


Sebelum kembali ke Malaysia, al-Attas mengajak Prof. Wan untuk menubuhkan satu institusi pendidikan tinggi yang hebat selayaknya Ikhwan as-Saffa. Prof. Wan sempat lama memikirkan tawaran tersebut, hingga akhirnya beliau memilih melepas pekerjaannya ketika kala itu di Kementerian Pendidikan Malaysia, dan fokus membantu al-Attas. Di sinilah perjalanan intelektual Prof. Wan bersama Prof. Al-Attas bermula. Beliau membaca dan mengkaji seluruh karya Prof. Al-Attas, mendalami selok-belok pemikirannya secara langsung.


Prof. Al-Attas dan Prof. Wan
Prof. Al-Attas dan Prof. Wan

Tepat sebelum institusi tersebut dirasmikan, al-Attas meminta Prof. Wan untuk menulis monograf perihal sejarah dan falsafah kampus yang akan dikenal sebagai International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Dalam pandangan al-Attas, usaha ini penting agar nantinya tiada yang menukar sejarah dan falsafah tersebut dengan penafsiran yang tak sesuai dengan hakikatnya.


Dari sinilah lahir monograf bertajuk The Beacon on The Crest of a Hill: A Brief History and Philosophy of the International Institute of Islamic Thought and Civilization (1991). Atas saranan daripada Prof. Alparslan Açıkgenç, monograf ini kemudian dikembangkan menjadi buku The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization (1998), yang menjadi topik utama siri kuliah ini.

 

Perihal Buku The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas

 

Buku ini boleh jadi merupakan karya yang paling berwibawa dalam kajian pemikiran Al-Attas. Setidaknya ada tiga alasan mengapa hal itu boleh dikatakan demikian: Pertama, karya ini ditulis oleh seorang sahabat sekaligus murid kepercayaan Prof. Al-Attas yang telah berkhidmat kepada ilmuan tersebut selama puluhan tahun. Kedua, demi memastikan ketepatan dan kualitas kandungannya, buku ini telah disemak oleh Al-Attas sendiri. Bahkan, judul daripada buku ini ialah saranan daripada beliau langsung. Ketiga, buku ini tidak hanya mengemukakan idea secara teori, tetapi juga menguraikan bagaimana idea itu diamalkan. Dalam buku ini, Prof. Wan membuktikan bahawa al-Attas bukan sahaja seorang ahli teori yang ulung, tetapi juga pengamal yang cemerlang.


Sebahagian orang menuduh al-Attas sebagai ilmuan yang hanya hidup di alam idea, dan tidak mampu mengamalkan ideanya. Menurut Prof. Wan, pernyataan semacam ini justeru menghapus peranan daripada para pemikir. Beliau memberikan contoh, masyarakat Barat tidak pernah menyebut Plato dan Aristotle hanya sebagai ahli teori semata-mata; demikian pula ilmuan kontemporari seperti Albert Einsten tidak pernah dituntut atas ideanya yang tidak tak praktikal. Pada hemat beliau, pernyataan ini muncul kerana pengaruh daripada orang-orang jahil, serta mereka yang kehilangan keikhlasan dalam aktiviti keilmuan. Tak hairanlah jika mereka menolak segala ilmu dan kebenaran hanya kerana dianggap tidak praktikal.


Adalah suatu yang aneh apabila kita menyalahkan idea seorang sarjana, tanpa menyedari kekurangan diri untuk memahaminya dengan tepat. Cabaran yang dialami Ibn Sina dalam memahami dan mengkaji karya Aristotle, ungkap Prof Wan, tidak pernah membuatnya menyalahkan sang filsuf; justeru itu membuatnya bersabar, sehingga Allah menuntunya melalui karya al-Farabi.



Al-Attas bukanlah ilmuan yang menyampaikan sesuatu sembarangan. Beliau sendiri kerap berpesan bahawa ketika menyampaikan sesuatu, katakanlah dengan dasar kebenaran, kerana sikap tersebut ialah adab kepada kebenaran itu sendiri. Meskipun selama puluhan tahun banyak orang yang mengambil ideanya, atau menolaknya dengan cara-cara yang tidak patut, al-Attas tetap teguh berjuang mempertahankan pemikirannya. Sebab itu merupakan suatu ilmu dan kebenaran yang beliau rasa harus disampaikan dan dipertahankan.


Al-Attas pernah mengatakan bahawa tantangan terbesar umat Islam saat ini ialah tantangan ilmu. Ilmu, seperti halnya diajarkan oleh para ulama terdahulu, adalah sesuatu yang melekat pada manusia dan menjadi aspek yang menaikkan derajatnya. Maka, tidak hairan ketika Iblis ingin menyesatkan manusia, dia akan menyerang sesuatu yang menjadikan manusia itu istimewa, iaitu ilmu. Jika ilmu berjaya diselewengkan dan para ahli ilmu dirosakkan, maka di titik itulah Iblis telah berjaya menyesatkan insan. Itulah sebabnya, Al-Attas sangat memerhatikan perkara ilmu ini, sehingga lahirlah gagasan-gagasan besar beliau seperti Islamisasi Ilmu dan Universitas Islam.

 

Keikhlasan sebagai Kunci Mewariskan Tradisi

 

Pemergian al-Attas merupakan duka yang mendalam bagi umat Islam. Dalam pandangan Prof. Wan, ilmuan seperti beliau tidaklah mudah tergantikan. Warisan keilmuwan beliau telah sebegitu besar, hingga siapapun barangkali akan sulit memikulnya. Namun, Prof. Wan mengingatkan bahawa seorang Muslim tidak patut untuk menyerah; tugas kita bukanlah untuk menggantikan al-Attas, melainkan tekun mempelajari dan meneladaninya sesuai dengan kemampuan.


Shalat jenazah Prof. Al-Attas di Masjid At-Taqwa, TTDI
Shalat jenazah Prof. Al-Attas di Masjid At-Taqwa, TTDI

Prof. Wan mengutip suatu hadis Nabi Muhammad Saw, iaitu:

 

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

 

“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” 

 

(Riwayat al-Bukhari [100] dan Muslim [2673])

 

Dalam pandangan Prof. Wan, hadis di atas tidak hanya menggambarkan situasi yang terjadi ketika kematian ulama secara fizikal. Sebab meskipun hayat masih dikandung badan sang ulama, tetapi perannya mengajar dihalangi dan ditukarkan kepada orang-orang tak berwibawa, yang pengajarannya justru menyelewengkan dan mengacaukan minda masyarakat, maka hakikatnya ulama tersebut telah “mati” secara intelektual. Namun, ilmuwan yang sebenar seperti al-Attas tidak akan mudah “mati”; bahkan ketika dirinya telah tiada, karya dan pemikirannya terus hidup dalam kajian dan perbincangan ilmiah kita.


Prof. Al-Attas ketika merancang seni bina ISTAC
Prof. Al-Attas ketika merancang seni bina ISTAC

Para ulama tidak hanya mewarisi ilmu para Nabi, tetapi juga tantangan yang dialami mereka, di antara tantangan tersebut ialah keikhlasan. Prof. Wan mengemukakan satu ungkapan hikmah yang dinukil oleh tokoh Islam asal Turki, Baiduzzaman Said Nursi, iaitu:

 

“Celakalah orang yang beramal tanpa ilmu. Celakalah orang yang berilmu tetapi tidak beramal. Celakalah mereka yang berilmu dan beramal tetapi tidak ikhlas. Celakalah orang-orang yang ikhlas, berilmu dan beramal, mereka itulah berada dalam kesukaran paling besar.”

 

Dalam satu waktu, Prof. Wan bertanya kepada Prof. Al-Attas, mengapa dalam ungkapan ini orang yang ikhlas justeru mendapatkan kesukaran? Ilmuan itu menjawab, sebab mereka yang ikhlas akan diuji oleh kehadiran kaum yang disebutkan sebelumnya. Orang yang beramal tanpa ilmu adalah golongan awam yang tidak mengenal kedudukan ilmu itu sendiri, sehingga ahli ilmu yang ikhlas akan menjadi sasaran penolakan mereka; orang yang berilmu tetapi tidak beramal akan mencabar sesiapa yang ikhlas, kerana hal itu akan membuat orang lain beralih pandang daripada mereka; sementara orang yang berilmu dan beramal tetapi tidak ikhlas menginginkan hal ehwal keduniaan yang tentu tidak sejalan dengan kehendak orang-orang yang ikhlas.


Oleh kerana itu, al-Attas kerap mengingatkan betapa pentingnya untuk menjaga keikhlasan dalam menuntut dan mengamalkan ilmu. Tanamkan pada hatimu bahawa segala hal yang kamu dapatkan saat ini ialah karunia daripada Allah. Anugerah yang datang tanpa dibersamai dengan keikhlasan akan membawa pada kodisi istidraj yang berujung kepada kelalaian, hingga menyangka diri berada dalam penghormatan yang sejatinya palsu.


RZS-CASIS Saturday Night Lectures 17th Series - Session 1, Dewan Azman Hashim, UTM KL
RZS-CASIS Saturday Night Lectures 17th Series - Session 1, Dewan Azman Hashim, UTM KL

 

Soal-Jawab

 

  1. Sebagai generasi pelajar Muslim masa kini, ilmu apa yang mesti diutamakan?

 

Ilmu yang penting untuk diutamakan oleh para penuntut ilmu ialah ilmu fardhu ‘ayn. Apa yang dimaksud dengan ilmu fardhu ‘ayn bukanlah semata-mata ilmu yang dipelajari di peringkat Sekolah Dasar dan Menengah, melainkan ilmu tentang sifat segala yang ada (the nature of reality), meliputi pembahasan mengenai Tuhan, Nabi, Islam, Akhlak, dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini bersifat dinamik, sehingga dia dapat  dipelajari pada tingkat yang semakin dalam seiring bertambahnya umur.


Menuntut ilmu semacam ini tidaklah bermaksud meninggalkan ilmu-ilmu fardhu kifayah. Namun, disebabkan keutamaannya, ilmu-ilmu fardhu ‘ayn perlu untuk mendapatkan perhatian kita. Maka dari itu, sediakanlah waktu untuk memperdalam ilmu ini dengan para guru yang tepat.


Prof. Al-Attas sendiri sangat menekankan kepentingan ilmu fardhu ‘ayn. Misalnya, di dalam sejumlah karyanya, beliau menguraikan makna agama Islam, bukan dalam bentuk yang sederhana, melainkan dengan cara mendalam yang diperuntukkan bagi kaum terpelajar. Terlebih lagi, di era saat ini banyak sekali kaum terpelajar yang kurang memahami makna agama, sehingga cenderung terjebak pada pandangan yang salah bahawa semua agama adalah sama, atau tokoh-tokoh agama lain ialah bahagian daripada kalangan Nabi.


Penekanan pada ilmu fardhu ‘ayn di tingkat yang tinggi juga dilakukan oleh Imam al-Ghazali. Dalam kitab Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Mulk, misalnya, separuh daripada kandungan kitab tersebut berisi  ilmu-ilmu fardhu ‘ayn, yang meliputi penjelasan tentang konsep Tuhan, kenabian, akhirat, serta kehidupan dan kematian yang diperuntukkan bagi pembaca di kalangan pemimpin.


Dalam bukunya yang terakhir, Islam: The Covenants Fulfilled (2023), al-Attas menguraikan pembahasan penting mengenai konsep ketuhanan dalam Islam. Antara lain, beliau menyatakan bahawa “Allah” bukanlah perkataan bahasa Arab, melainkan suatu Nama yang wujud sebelum adanya bahasa; suatu Nama yang Allah perkenalkan pada kita sebagai panggilan untuk-Nya.  Dalam sejarah Alam Melayu,  nama “Allah” terbukti hanya dikenal setelah Islam datang, di mana sebelumnya masyarakat di Semenanjung ini memanggil penciptanya dengan pelbagai perkataan, seperti Tuhan, Dewata, dan sebagainya.


Ketika Prof. Al-Attas dan Prof. Wan dijemput ke negara Sudan, keduanya berjumpa dengan Hassan al-Turabi, seorang ulama sekaligus politisi tersohor di Sudan. Sebagai sarjana dengan kepakaran dalam bidang fiqh dan siyasah, al-Turabi cenderung berpandangan bahawa untuk melahirkan kembali peradaban Islam yang unggul, umat Islam perlu terlebih dahulu memiliki kekuatan politik, dengan demikian kita dapat menukar perlembagaan selaras dengan syariat Islam. Dengan pandangan yang demikian, beliau kurang mengapresiasi pembahasan falsafah, kalam, dan tasawuf yang diketengahkan oleh al-Attas sebagai ilmu-ilmu fardhu ‘ayn yang menjadi sumber pemikiran Islam.


Al-Attas memiliki pandangan yang berbeda dengan al-Turabi. Berdasarkan pengamatannya, sebahagian besar umat Islam saat ini tidak hidup di wilayah di mana Muslim memegang kekuasaan. Bahkan, di negara mayoritas beragama Islam sekalipun, umat Islam tidak mampu menukar perlembagaan dengan syariat Islam, lebih-lebih lagi Muslim yang tinggal di wilayah di mana mereka menjadi minoriti, seperti Eropa dan Amerika.


Maka dari itu, menurut al-Attas, memahami Islam dengan baik menjadi prasyarat untuk memajukan peradaban Islam sendiri. Dan untuk memahami itu, kita perlu mengenal ajaran para ahli falsafah, mutakallim, dan sufi terkemuka dalam Islam. Pemahaman Islam yang tepat akan menjadi petunjuk bagi seorang muslim di manapun dia berada, tanpa harus menunggu “petunjuk” daripada negara. Kita perlu mendidik masyarakat Islam dengan baik, sehingga kelak mereka akan memilih pemimpin terbaik untuk memegang amanah kekuasaan.


Al-Turabi tampak cukup menghargai pandangan daripada al-Attas. Bahkan, ketika al-Attas menyampaikan syarahannya di The International University of Africa di Khartoum, Sudan, al-Turabi hadir mendengarkan. Suatu hal yang sangat jarang dilakukan oleh beliau, menurut pengakuan daripada para sarjana Sudan.

 

  1. Bagaimana cara membedakan ilmu yang bermanfaat dengan ilmu yang tidak bermanfaat?

 

Nabi Muhammad Saw mengajarkan kita berdoa pada Allah untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Ilmu secara umum bermanfaat. Tetapi, kebermanfaatan itu tidak berlaku untuk semua ilmu dan kepada semua orang; sebab hal tersebut ditentukan oleh kedudukan sang penuntut ilmu sendiri. Ilmu tentang perkara yang membahayakan itu boleh jadi bermanfaat, ketika dia dipelajari oleh seorang alim yang memang bertujuan mencegah orang lain mendapatkan keburukan daripada ilmu tersebut.


Sebahagian ulama menyebut pemikiran Ibn Arabi haram dipelajari. Tetapi, pada hemat al-Attas, hal itu haram bagi sebahagian orang yang tidak memiliki kemampuan yang memadai; sementara bagi sebahagian sarjana, pengkajian karya-karya tersebut justeru akan mengantarkannya pada wawasan-wawasan baru yang dapat disumbangkan kepada dunia Islam.


Untuk mengetahui mana ilmu yang bermanfaat dan yang tidak, kita mesti mengenal diri kita sendiri dan mencari guru yang tepat. Imam al-Bukhari dahulu diketahui ingin mendalami fiqh, di mana ilmu tersebut memang tengah tersohor kala itu. Tetapi gurunya mencegah beliau melakukannya; bukan kerana Imam Bukhari tidak pandai, namun sang guru melihat beliau punya keistimewaan tertentu dalam ilmu hadis, yang memungkinkannya menjadi ahli hadis yang terkemuka.


Al-Attas kerap menasihati bahawa kita mesti jujur pada diri sendiri. Jujur dalam arti mengenal dan mengakui kedudukan diri. Dahulu di ISTAC, ada seorang mahasiswa yang tidak diizinkan untuk mempelajari satu subjek, sebab dia tidak punya bekal mencukupi untuk mempelajari subjek tersebut. Jika dia tetap melakukan itu, maka dikuatirkan dia akan membawa pada persoalan spiritual yang pelik. Kenyataan ini juga menunjukkan betapa pentingnya memiliki guru, sebab guru yang benar akan dapat melihat dan menentukan apakah muridnya mampu atau tidak mengemban amanah ilmu-ilmu tertentu.

 

  1. Adakah terdapat sebarang urutan untuk mengkaji karya-karya Syed Muhammad Naquib Al-Attas?

 

Untuk mulai mengkaji karya dan pemikiran Prof. Al-Attas, kita boleh memulainya dari karya-kaya beliau perihal agama, antara lain Islam and Secularism (1978), On Justice and The Nature of Man (2015), dan Islam: The Covenants Fulfilled (2023). Setelah mengkaji buku-buku di atas, boleh beralih untuk mengkaji Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995), yang di dalamnya mengandungi uaraian mengenai konsep manusia (The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul), kebahagiaan (The Meaning and Experience of Happiness in Islam), dan falsafah sains (Islam and the Philosophy of Science).


Dalam pembacaan awal, tidak perlu memaksakan diri untuk mengkaji dua bab terakhir daripada Prolegomena (On Quiddity and Essence dan The Degree of Existence), sebab kedua bab ini merupakan pembahasan yang paling rumit. Jika seseorang tidak memiliki pemahaman yang memadai terhadap pembahasan bab-bab sebelumnya, tidak familiar dalam perbincangan metafisika Islam, juga tidak memiliki guru yang tepat, maka bab-bab ini dikuatirkan akan dapat mengelirukan. Kedua bab ini dimasukkan al-Attas ke dalam Prolegomena kerana kandungannya merupakan pandangan alam Islam secara keseluruhan sebagai sistem yang kompleks.


Sebagaimana membaca karya-karya agung lainnya, kita perlu sabar dan rendah hati ketika mengkaji karya-karya al-Attas. Beliau sendiri adalah sarjana yang sangat berhati-hati dalam menulis, karena baginya, tulisan sarjana adalah gambaran pemikirannya. Jika penulisan itu tidak dilakukan dengan baik, maka tulisan yang lahir akan mudah disalahartikan oleh orang lain. Hal ini perlu menjadi perhatian kita sebagai ahli ilmu, terutama di era social media yang membolehkan siapa sahaja dapat menulis dan membaca.

 

  1. Ada sejumlah tuduhan yang diberikan kepada Prof. Al-Attas: Pertama, ketika ISTAC dipimpin oleh beliau, tiada sarjana yang memiliki pandangan yang berbeda dengan beliau. Kedua, beliau dan muridnya adalah golongan yang elitis. Ketiga, terdapat banyak sekali aturan dan hambatan ketika seseorang ingin melakukan pembacaan publik terhadap karya-karya al-Attas. Bagaimana tanggapan anda?

 

Tiada yang baru dari semua tuduhan itu. Orang-orang yang mengatakan hal-hal demikian, sebenarnya tidak mengerti perkataan yang mereka ucapkan sendiri. Contohnya, apa yang mereka maksud dengan elitis? Jika yang dimaksud adalah orang-orang terpilih, apa yang salah dengan itu? Dalam istilah tasawuf, kita mengenal pelbagai hierarki, seperti golongan golongan khawas (elit) dan golongan khawas al-khawas (elit daripada yang elit). Golongan elit ini merupakan para ulama yang telah mencapai tingkat otoritas keilmuan tertentu, sehingga layak dipilih untuk mengemban sebutan itu.


Berkenaan dengan ISTAC yang dituduh bersifat tertutup kepada para sarjana yang berbeda pandangan dengan al-Attas, tentu hal tersebut tidak sesuai dengan kenyataan. Pada masa kepemimpinan al-Attas, ISTAC menerima semua sarjana. Al-Attas menjemput pelbagai ilmuan ulung sebagai pensyarah; tidak hanya dalam lingkaran sarjana Sunni, bahkan juga Syiah dan para oreintalis. Mereka adalah cendikiawan ternama yang memiliki integriti intelektual, serta mengiktiraf al-Attas sebagai sarjana yang berwibawa, meskipun berbeda madzhab pemikiran dengan mereka. ISTAC juga menerima mahasiswa dari kalangan manapun, apapun status sosial dan bidang yang dia tekuni. Namun, ketika mereka menulis tesis, maka ISTAC akan memastikan mereka telah memenuhi kualitas dan syarat akademik yang ditetapkan.


Mengenai aturan yang ketat dalam melakukan pengkajian terhadap karya-karya al-Attas, hal tersebut adalah tindakan yang biasa dalam dunia akademik. Ketika ada seseorang yang salah memahami suatu perkara, maka sudah menjadi tugas bagi orang yang lebih paham untuk membetulkannya, sebab jika dibiarkan maka justeru itu ialah tindakan yang biadab dan tidak bertanggungjawab kepada ilmu. Masyarakat yang beradab tentu berhak mendapatkan manfaat ilmu dari sumber yang tepat.

 

 

Ditulis oleh                             : Azzam Habibullah (Adab International Network)

Disemak dan disunting oleh   : Dr. Nurhazieqa (RZS-CASIS UTM)

 
 
 

Comments


bottom of page