top of page

Mengenal Metafizika Islam (Catatan Perkuliahan SNL 17th Series - Session 2)

Pada sesi sebelumnya (4 April 2026), Prof. Wan telah mengenalkan kembali sosok Syed Muhammad Naquib Al-Attas, serta menunjukkan pelbagai penghormatan para sarjana dunia kepada beliau melalui penterjemahan dan diskusi terhadap karya dan pemikirannya yang hingga saat ini masih dilakukan. Dalam sesi yang kedua, Prof. Wan mengajak kita untuk mengenal sumbangan al-Attas dalam perbincangan mengenai metafizika Islam.


Di masa di mana pandangan alam sekular dan kebendaan mendominasi perbincangan keilmuan, al-Attas hadir sebagai salah seorang daripada sedikit sarjana Muslim yang menyedari kepentingan metafizika dan berupaya menghuraikan rumusannya mengenai metafizika Islam secara mendalam dan sistematik. Kajian metafizika Islam, menurut Prof. Wan, merupakan satu kajian yang rumit sekaligus asas dalam pemikiran Islam, sebab dari sinilah pandangan alam Islam terbentuk dan mengakar di dalam fikiran dan sikap seorang Muslim.


Al-Attas dan Kajiannya terhadap Metafizika Islam


Prof. Al-Attas, meneruskan pandangan para Ulama terdahulu, meletakkan aspek metafizika sebagai satu asas dalam ajaran Islam. Kita tidak boleh menjadi Muslim yang baik, atau menjalankan ajaran Islam dalam tataran perseorangan mahupun masyarakat, tanpa memerhatikan aspek metafizika di dalam Islam itu sendiri.

Intipati daripada metafizika Islam adalah aqidah dan rukun iman, kata Prof. Wan.


Seseorang boleh melaksanakan semua rukun Islam, namun jika kefahamannya tentang perkara-perkara akidah – yang merupakan aspek metafizika – rosak atau terpesong, maka amalnya tidak akan diterima. Dalam al-Qur’an, kaum munafik diceritakan pernah memberikan penghormatan kepada Nabi ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam, tetapi Allah, yang mengetahui isi hati mereka, tidak menerima pengakuan itu dan bahkan menyebut mereka sebagai pembohong, kerana ucapan tersebut tidak datang dari hati-pikiran yang sedar dan ikhlas.



إِذَا جَآءَكَ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ قَالُوا۟ نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُۥ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ ١


"Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: 'Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah'. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta." (al-Munafiqun [63]: 1)


Maka dari itu, pandangan alam atau worldview menjadi asas dalam tiap amal seorang Muslim. Hal inilah yang diyakini oleh Prof. Al-Attas sedari muda hingga akhir hayatnya. Pemahaman beliau yang mendalam terhadap pandangan alam Islam telah pun terlihat ketika menggubah Rangkaian Rubaiyyat (1959); suatu karya himpunan puisi tasawuf-falsafah tinggi, yang menurut Za’ba – seorang ahli bahasa Melayu tersohor – merupakan sumbangan penting dalam perkembangan bahasa Melayu moden.


Pemahaman dan pengamalan yang mendalam mengenai pandangan alam Islam beliau dapatkan dengan mengkaji pemikiran para tokoh Sufi, baik di Alam Melayu maupun di dunia secara amnya; juga melalui tradisi keluarga beliau yang berasal dari kalangan sayyid Ba’alawi, Hadramaut. Hasil daripada pengkajian tersebut, beliau tulis menjadi sejumlah karya ilmiah bermutu tinggi, antara lain:


  • Some Aspects of Ṣufism as Understood and Practised Among the Malays (1963). Karya ini adalah hasil penjelajahan al-Attas ke seluruh Semenanjung Malaya menemui para tokoh Sufi untuk mengetahui ajaran dan amalan tasawuf mereka. Karya ini, menurut Prof. Wan, adalah karya paling terkemuka dalam menjelaskan tentang tarekat Sufi di Alam Melayu.


  • Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh: A Critical Study of Nūr al-Dīn al- Rānīrī’s Refutation of Hamzah Fansuri's Mystical Philosophy: Based on Rānīrī’s Hujjat al-Siddiq li-Daf' al-Zindiq and Tibyan fi Ma’rifatil Adyan and Other Malay Sources (1966). Karya ini asalnya merupakan tesis Master beliau di McGill University, Montreal yang kemudian diterbitkan.


  • The Mysticism of Ḥamzah Fanṣūrī (1970). Karya ini asalnya adalah tesis Doktoral beliau di School of Oriental and African Studies, University of London. Sebuah karya yang memberikan penjelasan dan pentafsiran menyeluruh terhadap ajaran tasawuf Ḥamzah Fanṣūrī berdasarkan karya-karyanya.


  • Comments on The Re-Examination of al-Rānīrī’s Hujjat al-Siddiq: A Refutation (1975). Karya ini ditulis sebagai jawapan al-Attas atas kritikan G. W. J. Drewes, seorang Professor Bahasa Arab dan Islamologi di University of Leiden, terhadap karyanya Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh yang ditulis dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.


  • A Commentary on the Ḥujjat al-Ṣiddīq of Nūr al-Dīn al-Rānīrī (1986). Karya ini

    merupakan sumbangan al-Attas sebagai Penyandang Kerusi Tun Abdul Razak Pertama di Ohio University.


Beberapa karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
Beberapa karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Pandangan Metafizika Islam


Al-Attas mentakrifkan pandangan alam Islam sebagai pandangan Islam tentang hakikat dan kebenaran (Arab: ru’yat al-Islam li al-wujud; Inggeris: Islamic vision of reality and truth). Pandangan alam Islam ialah tinjauan metafizikal, di mana aspek metafizikal atau alam ruhani mempengaruhi pandangan kita terhadap aspek fizikal atau alam jasmani. Apa yang kita lihat saat ini pada hakikatnya dikendalikan oleh kewujudan metafizik, yang pada tingkat tertinggi mengarahkan kita kepada Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā.


Semua manusia memiliki pandangan alamnya sendiri. Namun, sebahagian kalangan saat ini hanya menonjolkan aspek fizikal dalam pandangan alamnya, serta kurang memerhatikan aspek metafizik. Bahkan, sekalipun berhadapan dengan urusan agama, pandangan yang bersifat keduniaan dan kebendaan lebih menonjol dibandingkan agama itu sendiri. Hal ini boleh kita lihat, misalnya, daripada tindakan bangsa Israel di tanah Palestin, yang seolah-olah memanfaatkan “motivasi” agama untuk mewajarkan tindakan ganas mereka kepada bangsa Palestin.


Prof. Wan menerangkan bahawa memahami hakikat dan kebenaran hari ini begitu penting. Dengan perkembangan teknologi kini, kita dihadapkan dengan fenomena kecerdasan buatan, yang membolehkan manusia menciptakan pelbagai fakta palsu serta mengaburkan sesuatu yang nyata dan benar. Perkara ini telah lama diperingatkan oleh al-Attas dalam monografnya, Islam and the Philosophy of Science (1989), di mana hal-hal tersebut kini terbukti menyebabkan kerosakan dan kekeliruan yang nyata.


Pandangan metafizika Islam didasari oleh ilmu, di mana Islam mengakui bahawa ilm al-yaqin dapat dicapai melalui oleh indera, akal, dan khabar yang benar (khabar sadiq). Oleh kerana pandangan metafizika ini didasari oleh ilmu yang pasti, maka pandangan alam ini bersifat tetap dan tidak berubah-ubah mengikuti kehendak zaman. Pandangan inilah yang menghantarkan kita memahami alam seperti sedia ada.

Kebudayaan Barat sebaliknya begitu mengagungkan para filsuf sebagai pemikir yang tersohor. Tetapi ketika berhadapan dengan perbincangan mengenai prinsip kewujudan paling asas tanpa dipandu oleh agama yang benar, mereka cenderung berspekulasi; menciptakan pelbagai perselisihan, kekeliruan, dan kekaburan dalam dunia keilmuan sepanjang zaman.


Prof. Wan menyebut beberapa contoh ahli falsafah Yunani, antaranya Thales (w. ± 545 SM), Anaximander (w. ± 546 SM), Anaximenes (w. ± 528 SM), Anaxagoras (w. ± 428 SM), Socrates (w. 399 SM), Plato (w. 347 SM), dan Aristotle (w. 322 SM), yang meskipun memiliki hubungan guru dan murid, masing-masing daripada mereka mengemukakan pandangan yang berbeza mengenai prinsip kewujudan paling asas bagi dunia.


Prof. Wan menerangkan bahawa tanpa penaakulan yang betul berteraskan wahyu, maka pelbagai unsur asas yang menyusun pandangan alam kita tidak akan dipahami dengan baik. Akibatnya, ketika kita berupaya melaksanakan pemajuan diri dan masyarakat, kita hanya akan sentiasa tunduk pada perubahan masa, tanpa memiliki pijakan yang kukuh.


Para ahli falsafah dalam kebudayaan Barat
Para ahli falsafah dalam kebudayaan Barat

Dalam kajian al-Attas, pandangan alam ini berasal daripada ilmu tasawuf yang diajarkan dan dilaksanakan dengan sempurna oleh kalangan Sufi. Al-Attas mentakrifkan tasawuf sebagai pelaksanaan syariah dalam tingkatan ihsan. Artinya, Sufi yang sebenar adalah yang melaksanakan syariah semata-mata untuk Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā.


Sifat taqwa sudah melekat daripada diri seorang Sufi. Prof. Al-Attas pernah menyampaikan, bahawa taqwa berasal dari kesedaran bahawa Allah sentiasa mengawasi. Maka, kata beliau sebagaimana dituturkan Prof. Wan, seorang Muttaqin tidak hanya mencegah perbuatan yang salah dan mengejarkan perbuatan yang benar, tetapi juga tidak sedikitpun membiarkan mindanya memikirkan sesuatu yang salah, sebab dirinya sedar betul bahawa Allah mengetahui apa yang beliau fikirkan.


Dengan demikian, pandangan alam Islam tidak terhad pada tingkatan teoretikal semata- mata, tetapi terserlah dalam sikap kita sebagai Muslim, baik dalam keadaan sendirian mahupun di tengah masyarakat. Pandangan alam memandu amalan agar terlaksana dengan benar. Prof. Wan mengatakan bahawa para Nabi diturunkan untuk menjelaskan pandangan alam yang benar kepada manusia, meluruskan apa yang terpesong dalam fikiran dan hati mereka; setelah itu, barulah mereka menjelaskan aspek-aspek amaliah lainnya, seperti ibadah, akhlaq, dan lain- lain.


Perkara pandangan alam bukanlah suatu perbincangan yang boleh dianggap ringan. Al- Attas sendiri menghabiskan waktu bertahun-tahun menulis buku terakhirnya, Islam: The Covenants Fulfilled, untuk menjelaskan unsur paling asas dalam pandangan alam Islam, yakni tentang Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā. Beliau meluruskan pandangan sebahagian sarjana yang keliru mentafsirkan perkataan “Islam” seolah-olah milik agama selain yang diajarkan Nabi Muhammad.


Dengan pelbagai hujah, beliau menegaskan bahawa “Islam” adalah nama yang hanya diberikan kepada agama yang diajarkan Nabi Muhamamad dan merupakan agama universal. Hal ini penting, sebab ketika mengajukan berbagai konsep, seperti universiti Islam, keuangan Islam, sains Islam, dan lain sebagainya, apa yang kita maksud sebagai “Islam” di sana? Jika yang dimaksud adalah semua agama, maka perkataan “Islam” di dalamnya menjadi seolah-olah tidak penting, tegas Prof. Wan.


Prof. Al-Attas dalam salah satu syarahan karyanya "Islam: The Covenants Fulfilled"
Prof. Al-Attas dalam salah satu syarahan karyanya "Islam: The Covenants Fulfilled"

Pertembungan Pandangan Alam


Samuel P. Huntington (w. 2008), dalam bukunya The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order (1996), menyalahkan peradaban Islam sebagai penyebab pertembungan antara peradaban (clash of civilizations) di era setelah Perang Dunia Kedua. Teori itu ditolak oleh Edward Said (w. 2003). Sebab menurut Said, yang terjadi bukanlah pertembungan peradaban, melainkan pertembungan takrif (clash of definitions). Sebahagian kalangan boleh jadi bersepakat dengan takrif atas perkataan atau konsep tertentu (e.g. ekstremisme, terorisme, ketidakadilan); tetapi sebahagian yang lain belum tentu menerimanya, dan bahkan mentakrifkan perkataan atau konsep tersebut dengan cara yang jauh berbeza.


Prof. Wan sepakat dengan pandangan Edward Said. Tetapi, bagi beliau, Said belum mengajukan solusi yang mencukupi. Sementara itu, al-Attas, jauh sebelum Huntington dan Said, sudah membincangkan persoalan ini dalam bukunya Islam and Secularism (1978), di mana beliau menyebut fenomena di atas sebagai pertembungan pandangan alam (clash of worldview). Jika Said menyebut ada pertembungan takrif terhadap pelbagai konsep, al-Attas pula memberi perhatian kepada apa yang berada di sebalik perbezaan konsep tersebut. Hal tersebut terjadi akibat perbezaan pemahaman dan interpretasi yang bersumber daripada pandangan alam tertentu dalam setiap peradaban.


Peserta Saturday Night Lecture 17th Series - Session 2
Peserta Saturday Night Lecture 17th Series - Session 2

Misalnya, bebeza dengan konsep kebahagiaan Barat, konsep kebahagiaan dalam pandangan alam Islam bukanlah semata-mata merujuk pada pemenuhan aspek jasmani dan kebendaan dalam kehidupan. Kebahagiaan yang sebenar dalam Islam bersumber daripada pemahaman yang tepat tentang hakikat segala sesuatu, dan melaksanakan amalan yang didasari atas kepatuhan kepada pemahaman tersebut. Itulah sebabnya al-Attas selalu memulai karya- karyanya dengan membincangkan perkara pandangan alam terlebih dahulu, jelas Prof. Wan, sebab takrif yang akan beliau huraikan setelahnya bersumber daripada pandangan alam tersebut. Tanpa memahami dan mengamalkan pandangan alam yang sebenar, apapun takrif yang kita gunakan akan sentiasa tidak lengkap.


Metafizika di Era Sains Moden

Kekeliruan dalam mentakrif juga terjadi di kalangan umat Islam, di mana konsep- konsep dalam metafizika beberapa kali disalahertikan oleh para sarjana Muslim moden, terutama ketika mereka berhadapan dengan perkembangan sains dan teknologi yang bertumpu pada alam fizikal.


Kekaguman Syaikh Muhammad Abduh (w. 1905) kepada sains moden Barat, membuatnya mentafsirkan beberapa ayat dalam al-Qur’an mengikuti istilah sains tersebut. Misalnya, beliau menafsirkan "jin" (الجن) sebagai mahluk mikro seperti virus, bakteria, atau kuman, karena sifatnya yang sama-sama tidak terlihat atau tersembunyi. Tafsiran ini tentu keliru. Sebab perkataan "jin" dalam al-Qur’an merujuk kepada makhluk spiritual yang berkesedaran, sebahagian mereka merupakan Muslim dan sebahagian lain tidak; sementara makhluk-makhluk mikro di atas tentu bukan demikian.


Kecenderungan yang mirip juga pernah dilakukan oleh Fazlur Rahman (w. 1988), ketika beliau mentafsirkan “malaikat” sebagai kuasa semula jadi. Dalam pandangan beliau, malaikat disebut demikian kerana Allah memerintahkan mereka untuk menjalankan tugas di alam semesta. Padahal, menurut Prof. Wan, malaikat tidak hanya ditugaskan di alam semesta yang bersifat jasmani, tetapi juga alam yang spiritual, seperti Syurga, Neraka, dan Alam Kubur.


Mendalami sains adalah sesuatu yang baik, sebab kita boleh mentafsirkan pelbagai hal di alam jasmani dengan sains. Tetapi dalam perkara-perkara metafizikal, sains semata-mata tidak dapat mencapainya. Maka dari itu, kita menolak Stephen Hawking (w. 2018) yang berkata “If you know science, you know the God’s mind”, yang seolah-olah memberikan had pada ilmu Tuhan pada sains semata-mata. Bagi Prof. Wan, ungkapan yang terdengar angkuh semacam ini adalah wajar daripada ilmuwan seperti Hawking, sebab walau bagaimanapun beliau hanya bersandarkan pada akalnya, tanpa dipandu oleh pandangan alam berteraskan wahyu.


Seorang peserta memberikan soalan dalam Saturday Night Lecture
Seorang peserta memberikan soalan dalam Saturday Night Lecture

Soal-Jawab


  1. Bagaiman konsep adab Prof. Al-Attas diwujudkan dalam hubungan antara murid dan guru?


Perkara adab guru dan murid dapat kita temukan dalam kitab-kitab para ulama, seperti Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali, atau Ta’lim al-Muta’allim karya Burhanuddin al- Zarnuji.


Prof. Al-Attas menekankan bahawa adab yang paling utama daripada guru dan murid adalah keikhlasan. Ilmu adalah hadiah terbesar yang diberikan Allah kepada manusia. Maka siapa pun yang menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu mesti ikhlas dalam menjalaninya. Ikhlas yang di maksud adalah melakukan sesuatu bukan untuk perkara keduniaan sahaja, melainkan juga menginginkan keredaan-Nya.

Di ISTAC dahulu, Prof. Al-Attas kerap mengingatkan Prof. Wan, jika menjemput seorang pensyarah untuk mengajar, jangan membicarakan gaji dengannya. Dan jika membawa seorang pelajar untuk belajar, jangan membicarakan biasiswa; biarkan dia datang untuk belajar terlebih dahulu, lalu jelaskan tentang ISTAC dan hal-hal yang hendak kita usahakan di dalamnya; jika dia menjalankan studinya dengan baik dan menunjukkan akhlak yang mulia, maka berikanlah biasiswa padanya.


Bagi seorang pelajar, ikhlas di sini merujuk pada kesungguhannya dalam menuntut ilmu dengan tujuan semata-mata untuk memahaminya dengan baik. Sementara bagi seorang guru atau pensyarah, ikhlas bermakna beliau secara bersungguh-sungguh pula mengajarka ilmu yang dimiliki.


Adab yang kedua, khasnya bagi seorang murid, ialah menghormati guru. Menghormati guru bermakna patuh dan mengikuti panduannya. Jika seorang guru memerintahkan seorang murid untuk mempelajari satu ilmu sebelum ilmu yang lain, atau melakukan pengkajian pada bidang-bidang tertentu, maka murid mesti patuh dan melaksanakannya. Hal tersebut mungkin tidak mudah dipahami, namun jika kita menjalaninya dengan baik, maka pemahaman itu justeru akan didapatkan secara beransur-ansur.


Prof. Wan berkisah, suatu ketika seorang pelajar di ISTAC mengadu kepadanya kerana Prof. Al-Attas tidak mengizinkannya membaca karya-karya lain selain karya beliau sendiri. Prof. Wan mengatakan itu tidak benar, sebab Prof. Al-Attas membuka peluang bagi semua pelajar untuk membaca pelbagai karya ilmiah. Namun, dalam kelas tertentu, misalnya yang diajar langsung oleh al-Attas, beliau memang menyuruh pelajar untuk membaca karyanya. Alasannya, kerana materi itulah yang beliau sampaikan, dan beliau ingin memastikan muridnya faham apa yang diajarkan. Jika seorang murid beralih kepada karya yang lain, sementara penulis karya tersebut tidak ada, siapa yang kemudian akan mengesahkan pemahamannya?


Panduan guru juga amat berguna bagi murid untuk mengetahui kepada siapa dia dapat mempelajari sesuatu. Jika seorang guru merasa kurang kefahaman dalam ilmu-ilmu tertentu, beliau akan mengarahkan muridnya untuk belajar kepada guru yang berwibawa dalam ilmu tersebut.


Adab yang ketiga, khasnya bagi seorang guru, ialah menganggap murid seperti anak sendiri. Hubungan ini barangkali telah hilang di universiti moden. Pensyarah dan pelajar bahkan tidak mengenal satu sama lain. Hubungan mereka hanya terhad pada urusan administratif, bukanlah sebagaimana guru dan murid.


Demikianlah beberapa adab yang mesti dilaksanakan di antara guru dan murid. Prof. Al-Attas sendiri telah mencontohkan pelaksanaan adab ini di institusi-institusi yang beliau dirikan, serta dalam hubungan pribadinya dengan para muridnya. Adab-adab semacam ini telah diturun-temurunkan daripada para Nabi dan ulama terdahulu, sehingga mesti kita wariskan dengan baik.


  1. Pendidikan saat ini cenderung menyokong para murid untuk berpikir kritis termasuk kepada guru mereka sendiri. Dalam pendidikan Islam, bagaimana adab seorang murid jika memiliki perbezaan pandangan dengan guru?


Dalam tradisi intelektual klasik Islam, tiada saranan untuk melakukan kritik terhadap guru, tetapi para ulama menyokong kita untuk bertanya. Prof. Al-Attas mengatakan, bahawa di kalangan sarjana boleh jadi ada ketidaksepakatan, sebab mereka adalah para sarjana; tetapi, bagi kalangan pelajar, ketidaksepakatan kepada guru bukanlah sesuatu yang baik. Sebab, kata beliau, ketidaksepakatan seorang murid membuatnya seolah-olah memiliki tingkatan keilmuan yang sama, bahkan melebihi gurunya. Padahal, itu jelas tidak benar.


Memang, dalam sejarah peradaban Islam, terdapat kisah murid yang boleh membantah gurunya, seperti Abu al-Hasan al-Asha’ri (w. 936) dengan gurunya Abu ‘Ali al-Jubba’i (w. 915). Tetapi, al-Asha’ri adalah sosok yang berbeza, dan tidak dapat disamakan dengan siapa pun pelajar hari ini. Maka dari itu, sebelum seorang pelajar memutuskan untuk tidak sepakat, patutnya dia memahami dahulu apa yang disampaikan gurunya, sebab boleh jadi dia hanya tidak setuju kepada sesuatu yang tiada dia fahami.


Para ulama mendorong murid-muridnya untuk bertanya. Namun, seorang murid perlu memikirkan terlebih dahulu pertanyaan apa yang tepat untuk disampaikan. Pertanyaan yang baik berasal dari pelajar yang cerdas. Kebanyakan para pelajar bahkan tidak tahu bagaimana untuk menanyakan pertanyaan yang tepat, dan justeru tidak faham dengan pertanyaannya sendiri. Oleh kerana itu, Prof. Wan mengingatkan untuk sentiasa sabar dan percaya pada para guru yang berwibawa.


  1. Sepanjang sejarah umat manusia, terdapat banyak pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, apa nasihat Prof. Wan kepada generasi muda agar dapat mengatasi kebatilan yang mencuba mematikan cahaya kebenaran?


Hal pertama yang perlu dilakukan adalah mengikuti jalannya Nabi Muhammad dan para Nabi terdahulu. Mereka adalah manusia-manusia terpilih yang telah berjaya melewati pelbagai cabaran sepanjang sejarah umat manusia. Prof. Al-Attas pernah bercerita tentang ibunya yang kerap menasihati untuk belajar daripada kisah Nabi Yunus. Nabi Yunus sempat mendapatkan pertentangan daripada umatnya sendiri hingga beliau menyerah dan meninggalkan umatnya, tetapi Allah mengirimkan seekor paus yang menelannya, lalu kemudian mengembalikannya kepada umatnya.


Al-Attas begitu mengingat nasihat ini, untuk tidak meninggalkan tugasnya. Suatu ketika, Prof. Wan berkisah, al-Attas dijemput oleh seorang tokoh setelah dikeluarkan dari ISTAC. Sang tokoh kala itu mencadangkan al-Attas untuk membangun kembali kampus di negaranya, beliau bahkan bersedia untuk memberikan semua yang diperlukan al- Attas untuk mewujudkan hal itu.


Tetapi Prof. Al-Attas menolak dengan hormat, beliau berkata tugasnya belum selesai di Malaysia. Beliau tidak menyalahkan pemerintah atas cabaran yang didatangkan padanya. Sebagai seorang sarjana, kritikan beliau kepada pemerintah tidak didasari pada pandangan politik – yang cenderung menginginkan kejatuhan pihak-pihak tertentu, melainkan amanah ilmu yang diberikan oleh Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā.


Hal yang demikian juga dilakukan oleh para ulama di masa dahulu. Mereka menghabiskan banyak masa untuk berpikir secara mendalam mengenai persoalan umat, dan melahirkan karya-karya terbaik untuk mengatasi persoalan tersebut. Meskipun akhir hidup mereka harus dilalui dengan pelbagai cabaran dan penderitaan, karya-karya mereka masih menerangkan kita hingga hari ini. Maka dari itu, tidak perlu takut dengan kekuasaan yang batil; memiliki kekuasaan, kepangkatan, kekayaan, bukan bererti memiliki kebenaran.


(Rekaman syarahan dapat dilihat lebih lanjut melalui lelaman Maratib.my)


Disiapkan oleh : Azzam Habibullah (Pegawai Eksekutif AIN)

Disemak oleh : Dr. Nurhazieqa (RZS-CASIS UTM)

 
 
 

Comments


bottom of page