Meneroka Takrif Ilmu (Catatan Perkuliahan SNL 17th Series - Session 4)
- adabnetwork
- Jun 10
- 9 min read

Tantangan kerosakan ilmu menjadi perhatian utama dalam sesi sebelumnya. Persoalan selanjutnya yang mesti kita terokai adalah apa yang dimaksud dengan ilmu? Apakah Islam memiliki takrif ilmu sendiri? Perkara-perkara inilah yang akan dibahas Prof. Wan dalam sesi kali ini.
Takrif Ilmu menurut al-Attas
Budaya ingkar ilmu (sophism) saat ini telah tersebar luas, tidak hanya di kalangan orang awam, tetapi juga di antara para cendikiawan. Mereka yang terpengaruh budaya ini, mengangkat keraguan (shak) dan dugaan (dzan) sebagai kaedah ilmu, serta cenderung menafikan kebolehan manusia mencapai ilmu al-yaqin.
Padahal, Prof. Wan kembali menegaskan bahawa ilmu adalah keistimewaan yang hanya diberikan kepada manusia, sebuah sifat yang membolehkan manusia membawa amanah sebagai hamba dan khalifah. Jika kefahaman kita tentang ilmu telah rosak, maka sebenarnya kita telah menurunkan kedudukan diri kita sendiri dan mencederai amanah yang diberikan Allah.
Prof. al-Attas, sebagaimana yang dihuraikan oleh Prof. Wan, menyebutkan bahawa salah satu kesan kekeliruan ilmu dalam tubuh umat Islam ialah hilangnya kemampuan kita mentakrifkan sesuatu. Alhasil, perkataan kunci yang membentuk pandangan alam Islam menjadi semakin samar, ditambah lagi pengaruh pandangan alam asing yang bercanggahan dengan Islam. Maka dari itu, penting untuk kita mentakrifkan secara benar perkataan kunci tersebut, di antara yang paling asas ialah ilmu.
Prof. Al-Attas menerangkan ada dua kaedah takrif dalam tradisi keilmuan Islam: Pertama, hadd, yakni takrif ringkas yang memperlihatkan ciri paling asasi sesuatu, yang membezakan ia dengan sesuatu yang lain. Kedua, rasm, yakni takrif yang mengandungi ciri umum atas sesuatu, ketika ciri paling asasi tiada dapat diketahui daripadanya. (sila rujuk The Concept of Education in Islam, ms. 2).
Sebahagian besar ulama berpandangan ilmu tidak dapat ditakrifkan secara hadd, sebab usaha semacam ini hanya akan membuat seseorang terjebak pada tautologi, seperti “ilmu adalah apa yang dimiliki orang yang berilmu”. Oleh kerana itu, Prof. Al-Attas berpandangan bahawa ilmu hanya boleh ditakrifkan secara rasm, yakni menonjolkan ciri yang umum mengenainya. Mengambil inspirasi daripada penjelasan ulama terdahulu, beliau mentakrifkan ilmu seperti yang berikut:
“...merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam jiwa seseorang; dan merujuk kepada jiwa sebagai penerima yang aktif dan pentafsir, ilmu adalah ketibaan jiwa seseorang kepada makna tentang sesuatu” (terj. Prolegomena, ms. 133)
Memandangkan penjelasan di atas, maka ada dua dimensi yang perlu difahami dalam takrif ilmu. Pertama, ilmu ialah pemberian daripada Allah sebagai sumber segala ilmu. Kedua, ilmu pula boleh didapatkan oleh manusia melalui usahanya. Dengan demikian, ilmu tidak hanya berkaitan dengan usaha manusia sahaja, sebagaimana yang dipandang oleh sebahagian orang; malah ia pula adalah pemberian Allah kepada manusia yang berusaha menyiapkan dirinya agar siap menerima ilmu tersebut.

Prof. Wan mencontohkan bagaimana para pemikir Muslim sangat memahami takrif ilmu ini. Imam Bukhari menjelajah ke banyak tempat demi mendapatkan dan menyusun hadis. Namun, tiap kali beliau berjaya menemukan satu hadis, beliau tidak pernah membanggakan dirinya, justeru beliau melaksanakan salat dua rakaat kerana memahami bahawa itu ialah pertolongan Allah. Manakala Ibn Sina, selain diketahui sebagai seseorang yang sangat tekun dalam pengkajiannya, senantiasa mengiringi proses belajarnya dengan dzikir dan doa kepada Allah. Dan ketika berjaya menyelesaikan permasalahan dalam kajiannya, beliau akan memberikan sedekah sebagai bentuk rasa syukur.
Perihal Makna
Jika ilmu melibatkan proses ketibaan makna pada jiwa manusia dan ketibaan jiwa manusia pada makna, persoalan selanjutnya: apa itu makna? Prof. Al-Attas menerangkan bahawa sesuatu itu dapat disebut bermakna ketika jiwa mengenali tempat yang tepat baginya dalam sebuah sistem, di mana pengenalan itu terjadi ketika hubungan antara segala sesuatu dalam sistem telah dikenal pasti dan difahami (sila rujuk The Concept of Education in Islam, ms. 15).
Berkenaan dengan hal ini, Prof. Wan menghuraikan bahawa sesuatu tidak penah berdiri sendiri, malah ia berhubugan dengan sesuatu yang lain. Misalnya, sesuatu yang kita sebut “kursi” akan bermakna jika ia dihubungkan dengan tindakan yang kita sebut “duduk”, di mana “duduk” adalah fungsi utama daripada “kursi”.
Prof. Wan menjelaskan bahawa makna dapat ditangkap oleh seseorang daripada satu sistem tertentu; dan bagi seorang Muslim, sistem yang semestinya ia rujuk adalah pandangan alam Islam. Jika sistem tidak dikenali dengan baik atau diambil daripada pandangan alam asing, maka makna yang diambil daripadanya akan rosak dan keliru menurut pandangan alam Islam. Seorang yang mengikuti sistem sekular maka ia akan mengambil makna-makna sekular yang bercanggahan dengan sistem makna dalam Islam; sementara itu, bagi seorang penganut Kristian, maka ia akan mengambil makna-makna yang berasal daripada sistem pandangan alam Kristian, yang tentu sebahagian besar tiada selaras dengan Islam.
Prof. Al-Attas, sebagaimana yang dikutip oleh Prof. Wan, mengatakan adanya “tempat yang tepat” dalam pemahaman kita terhadap makna. Apa yang disebut “tempat” dalam ungkapan itu? Tempat di sini tidak hanya merujuk pada tempat secara fizikal, tetapi juga berkaitan dengan tingkat kewujudan yang selaras dengan pelbagai tingkat operasi indera luaran dan dalaman manusia (sila rujuk Prolegomena, ms. 124). Tingkatan kewujudan tersebut disusun oleh Prof. Al-Attas, dan disenaraikan dan dihuraikan kembali oleh Prof. Wan sebagai berikut:
Kewujudan nyata (haqiqi), yang ada pada dataran objektif di luar minda manusia, seperti dunia indriawi dan luaran
Kewujudan inderawi (hissi), yang meliputi mimpi, visi, ilusi, dan lain-lain
Kewujudan imaginasi (khayali), iaitu objek daripada fenomena alam yang hadir dalam imaginasi ketika objek tersebut tidak terlihat secara zahir
Kewujudan intelektual atau konseptual (‘aqli), yang berdiri daripada konsep abstrak dalam pikiran manusia, seperti subjek dalam matematika.
Kewujudan analogi (syibhi), iaitu kewujudan yang tidak termasuk di antara kategori kewujudan yang disebutkan di atas, tetapi menyerupai sesuatu dalam aspek tertentu. Kewujudan ini bersifat samar-samar, dan berhubungan dengan daya fikir atau akal. Prof. Wan mencontohkannya dengan gambar struktur atom atau DNA, yang meskipun wujud aslinya tidak dapat diketahui, tetapi para ahli sains percaya bahawa keduanya beroperasi sebagaimana yang dirupakan.
Kewujudan suprarasional atau transenden (ruhi), yang meliputi segala sesuatu yang dapat dilihat sebagaimana adanya. Kewujudan ini dialami oleh para Nabi, wali, dan mereka yang diberikan keistimewaan oleh Allah untuk mengalaminya. (sila rujuk senarai ini dalam Falsafah dan Amalan Pendidikan SMN Al-Attas, ms. 90)
Makna segala sesuatu dapat difahami secara benar apabila ia dipandu oleh pandangan alam yang benar. Habib Abdullah bin Muhsin al-Attas, datuk daripada Prof. Al-Attas, pernah menerangkan bahawa makna seorang Nabi Muhammad Saw bagi seorang Abu Jahal dan Abu Bakar berbeza. Abu Jahal memandang Muhammad tidak lain hanyalah pemuda Arab pemberontak, tetapi bagi Abu Bakar, beliau adalah sosok insan terbaik, sang Nabi akhir zaman. Keduaya sama-sama melihat Nabi Muhammad Saw, tetapi meletakkan beliau di “tempat” yang berbeda.
Jika kita memahami bahawa ilmu adalah tibanya makna ke dalam jiwa manusia dan tibanya jiwa manusia kepada makna, di mana makna adalah pengenalan atas tempat yang tepat bagi segala sesuatu di dalam sistem, maka pada akhirnya ini membawa kita pada pengenalan kepada “tempat yang tepat” bagi Allah. Oleh kerana itu, Prof. Wan menegaskan bahawa proses menuntut ilmu sudah sepatutnya membawa seseorang mengenal Allah, bukanlah menjauh daripada-Nya.
Klasifikasi Ilmu
Ulama dalam sejarah keilmuan Islam telah menyusun pelbagai klasifikasi atau pengkategorian ilmu. Keragaman klasifikasi tersebut mesti dipandang secara hati-hati, dengan merujuk kepada konteks yang dipertimbangkan dalam penyusunannya. Jika tidak dikaji secara hati-hati, maka pelbagai klasifikasi tersebut akan membawa kita kepada kebingungan dan kekeliruan dalam menilainya.
Prof. Al-Attas sendiri membagi ilmu dalam dua kategori: ilmu pengenalan (ma’rifah) dan ilmu pengetahuan (‘ilm). Ilmu pengenalan adalah ilmu yang datang daripada Allah kepada manusia, seperti yang diperoleh oleh para Nabi dan awliya; manakala ilmu pengetahuan boleh didapatkan daripada usaha manusia.
Klasifikasi ini bukanlah dualisme, kata Prof. Wan, sebab Prof. Al-Attas dalam konteks ini sedang menerangkan jenis ilmu berdasarkan cara menempuhnya, di mana yang pertama merujuk kepada ilmu yang datang daripada jalan spiritual, sementara yang kedua merujuk kepada ilmu yang datang daripada saluran akal dan pengalaman inderawi. Oleh kerana ia langsung daripada Allah, maka ilmu pengenalan bersifat lebih meyakinkan dibandingkan ilmu pengetahuan, yang meskipun merupakan ilmu yang benar, tetapi juga berpeluang menjerumuskan manusia pada kekeliruan. Walaupun bagaimanapun, semua ilmu pada hakikatnya berasal daripada Allah jua.
Berkenaan dengan kewajipan terhadap ilmu, Prof. Al-Attas menjelaskan adanya dua jenis ilmu, yakni ilmu fardhu ayn dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu yang pertama diwajibkan bagi setiap manusia secara peribadi, manakala ilmu yang kedua hanya diwajibkan bagi sebahagian kalangan manusia. Penjelasan ini juga bukanlah dualisme, kata Prof. Wan, sebab ulama mengembangkan klasifikasi ini dengan pertimbangan bahawa manusia sepatutnya memiliki keutamaan prioritas dalam menjalankan kewajipannya menuntut ilmu di masa kehidupannya yang sementara.

Hal ini juga semestinya membuat kita tidak memandang secara dualistik kategori ilmu lain yang dibuat oleh ulama. Misalnya, ada sebahagian kalangan ulama yang mengkategorikan ilmu dalam dua jenis: al-ulum asy-syar'iyyah dan al-ulum ghairu syar'iyyah. Dalam pandangan Prof. Wan, keduanya tidaklah berada dalam keadaan bercanggah, melainkan saling terhubung antara satu sama lain.
Ibn Hazm dalam kitabnya Maratib al-Ulum, sebagaimana dikutip Prof. Wan, mengatakan bahwa al-ulum asy-syar'iyyah membutuhkan al-ulum ghairu syar'iyyah untuk mengamalkan syariah dalam kehidupan. Sebaliknya, kata Prof. Wan, bagi seorang yang telah memahami al-ulum ghairu syar'iyyah, maka ia juga membutuhkan al-ulum asy-syar'iyyah untuk menjadi panduan baginya.
Saluran Ilmu
Manusia telah dibekali kemampuan untuk memperoleh ilmu daripada Allah, yang dengannya kita dapat menjalankan amanah sebagai hamba dan khalifah, baik secara peribadi mahupun kolektif. Namun, memandangkan adanya kepelbagaian dalam ilmu, maka tidak mungkin semua ilmu diperoleh dengan satu jalan. Itulah mengapa, ulama menjelaskan bahawa ada beberapa saluran untuk memperoleh ilm al-yaqin: panca indera, akal, dan khabar yang benar.
Prof. Al-Attas menjelaskan bahawa Islam tidak pernah menafikan fungsi tubuh fizikal dalam memperoleh ilmu, oleh kerana itu, panca indera membolehkan kita mengenal Allah melalui perkara-perkara zahir. Akan tetapi, panca indera itu terbatas, sehingga manusia juga memerlukan akal dalam memperoleh ilmu, termasuk dalam memahami ilmu-ilmu agama. Selain panca indera dan akal, manusia juga dapat memperoleh ilmu daripada khabar yang benar, meliputi khabar daripada Nabi dan khabar mutawatir.
Prof. Al-Attas menegaskan bahawa kita perlu menggunakan seluruh saluran ilmu ini dengan cara yang tepat dan harmoni. Setiap objek ilmu membutuhkan penekanan yang berbeda terhadap saluran ilmu tertentu, namun setiap saluran ilmu itu pada hakikatnya tidak bercanggahan satu sama lain, malah saling menguatkan.
Prof. Al-Attas sendiri menggunakan seluruh saluran ilmu dalam meneroka sesuatu. Misalnya, dalam mengkaji sejarah Islam di Alam Melayu, beliau menggunakan artefak untuk dikaji melalui pengamatan zahir; menggunakan akal untuk menyusun argumentasi sejarah yang rasional; dan juga menggunakan kajian-kajian yang dilakukan oleh para pengkaji terdahulu yang menurutnya benar dan berwibawa. Dengan cara itulah, beliau berjaya memperoleh ilmu yang bermanfaat, yang kini dapat kita nikmati melalui karya-karyanya.
Dalam penutup syarahannya, Prof. Wan kembali menegaskan tentang keistimewaan ilmu pada diri manusia dengan mengutip kalimat akhir dalam terjemahan Melayu Aqaid Nasafi, yang berbunyi: “... ‘am manushia daripada segala mu’min terlebih ia daripada ‘am mala’ikat” (sila rujuk The Oldest Known Malay Manuscript, ms. 63). Manusia adalah mahluk yang istimewa kerana ilmu. Dengan ilmu, manusia dapat mengenali tempat yang tepat bagi segala sesuatu, yang kemudian mengantarkan ia mengenal “tempat” bagi Allah dan menjadi mukmin yang kedudukannya bahkan lebih tinggi daripada malaikat.
Sesi Soal-Jawab
Jika adab kita fahami sebagai pengenalan tempat segala sesuatu dalam sistem serta pengakuan atas pengenalan itu, manakala ilmu juga mengandungi perkara yang serupa, adakah ini bercanggahan? Bagaimana kita memahami nasihat ulama untuk memiliki adab sebelum ilmu, jika adab juga mengandungi ilmu?
Prof. Wan menerangkan bahawa kita perlu memahami ilmu di sini dalam dwi-makna: umum dan khusus. Ketika ulama menasihatkan kita untuk mempelajari adab sebelum ilmu, maka ilmu yang dimaksud dalam konteks adab adalah ilmu yang bersifat umum. Ilmu yang bersifat umum ini sangat penting sebelum kita mempelajari ilmu yang khusus.
Prof. Wan mencontohkan, sebelum seseorang datang ke suatu institusi untuk belajar ilmu-ilmu tertentu, ia tentu perlu memiliki ilmu yang bersifat umum mengenai institusi tersebut, seperti siapa yang mengajar di sana, apakah kewibawaan ilmunya, dan lain-lain. Dengan ilmu yang sifatnya umum itu, ia akan menghormati dan memercayai para pengajar di sana, dan setelah itu barulah ia boleh melanjutkan belajar di institusi tersebut.
Pendekatan yang sama juga boleh kita gunakan dalam memahami ungkapan ulama bahwa “permulaan agama adalah ilmu tentang Allah”. Apa yang dimaksud “ilmu tentang Allah” ialah ilmu yang bersifat umum, seperti nama-Nya, sifat-Nya, dan lain-lain. Seiring seseorang memperdalam ilmu agama, maka ilmunya tentang Allah (ma’rifatullah) akan semakin mendalam sehingga ia dapat naik tingkat kepada ilmu yang khusus mengenai Allah.
Di dalam al-Qur’an, Allah mengajari Nabi Adam AS nama segala sesuatu yang menjadikannya istimewa dibandingkan mahluk Allah lainnya (al-Baqarah: 31). Apa yang sebenarnya diterima oleh Nabi Adam dalam peristiwa itu?
“Nama-nama” yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah makna yang meliputi hakikat sesuatu itu. Ketika kita mengatakan “sesuatu”, ini tidak bererti segala sesuatu yang ada, melainkan sesuatu yang asasi. Dengan makna tersebut, Nabi Adam dapat mengenalinya, membezakannya dengan hal lain, dan memanfaatkannya demi menjalankan kehidupan sebagai manusia pertama.
Dalam pandangan kita sebagai Muslim, Nabi Adam bukanlah “manusia gua” yang tidak tahu apa-apa, seperti mana yang digambarkan oleh kalangan tertentu, melainkan manusia yang telah dibekali ilmu asas, dan menurunkan ilmu tersebut kepada anak-cucunya sehingga terus berkembang hingga saat ini.
Siapakan pihak yang berautoriti dalam membetulkan makna yang benar apabila berlaku kekeliruan?
Pihak yang berperanan meluruskan makna apabila berlaku kekeliruan tidak lain ialah para sarjana atau cendekiawan. Oleh sebab itu, dalam tradisi keilmuan Islam, golongan ulama memegang peranan yang sangat penting dalam mendidik masyarakat.
Hal yang demikian juga difahami oleh ajaran lain, seperti dalam kisah Konfusius, misalnya. Ketika ditanya tentang perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang pemimpin, beliau menjawab bahawa bahasa perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Jika bahasa digunakan secara keliru, maka makna akan menjadi kabur; apabila makna menjadi kabur, dasar dan tindakan akan disalahfahami; dan apabila hal itu berlaku, keadilan boleh dianggap sebagai ketidakadilan, manakala ketidakadilan pula dianggap sebagai keadilan.
Atas sebab tersebut, dalam pandangan Prof. Wan, tanggungjawab seorang sarjana adalah untuk terus berfikir, meneliti, menulis, dan mendidik dengan sebaik-baiknya, tanpa bergantung kepada sama ada masyarakat atau pihak berkuasa mahu mendengar ataupun tidak. Seorang sarjana tidak boleh berkompromi dalam soal integriti ilmu. Dia wajib menyampaikan kebenaran berdasarkan ilmu yang sahih dan dengan ungkapan yang paling tepat.
Dalam pandangan Islam, kuasa politik tidak secara automatik menjadikan seseorang itu berautoriti dalam soal kebenaran. Pemimpin mempunyai peranan dalam urusan pentadbiran dan politik, tetapi kedudukan tersebut tidak semestinya memberikan kelebihan dalam perkara ilmu, agama, atau kebenaran.
Salah satu kecenderungan zaman moden, menurut Prof. Wan, ialah menganggap kedudukan dan kuasa sebagai ukuran kebenaran, sehingga sesetengah pihak menjadi angkuh dan menganggap pandangan mereka sentiasa benar meskipun bertentangan dengan ilmu yang sahih. Sejarah menunjukkan bahawa ilmu yang benar mempunyai daya untuk mengubah manusia, walaupun tanpa kekuasaan politik. Pengaruh yang lahir daripada ilmu yang benar sering kali lebih berkekalan daripada pengaruh yang lahir daripada kuasa semata-mata.
Ditulis oleh : Azzam Habibullah (Pegawai Eksekutif AIN)
Disemak oleh : Dr. Nurhazieqa (Penyarah Kanan RZS-CASIS UTM)



Comments