Dr. Ugi Suharto

Dr. Ugi Suharto kini merupakan Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (IIIU). Beliau pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia dari tahun 2022 hingga 2024. Sepanjang kerjayanya, beliau telah berkhidmat sebagai ahli akademik di pelbagai universiti antarabangsa.
Pada tahun 2000, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Peradaban Islam, dengan pengkhususan dalam Ekonomi Islam) dari International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Sebelum itu, beliau menyelesaikan Ijazah Sarjana Ekonomi (M.Ec) pada tahun 1993 dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B.Ec) pada tahun 1990 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau memulakan kerjaya akademiknya di Malaysia selama 12 tahun. Beliau berkhidmat sebagai Felo Penyelidik dan Penolong Profesor di ISTAC dari tahun 1996 hingga 2003, sebelum menyertai Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM sebagai Penolong Profesor dari tahun 2003 hingga 2008. Selepas tempoh tersebut, beliau melanjutkan kerjaya akademiknya ke Bahrain, United Kingdom dan Oman. Beliau pernah mengajar di University College of Bahrain (UCB) sebagai Profesor Madya selama 2 tahun, di Bahrain Institute of Banking and Finance (BIBF) selama 2 tahun, serta hampir 4 tahun di Ahlia University, Bahrain. Di samping itu, beliau turut berkhidmat di Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom dari tahun 2010 hingga 2011.
Seterusnya, beliau bertugas sebagai Profesor Madya di University of Buraimi, Sultanate of Oman dari tahun 2018 hingga 2022. Dr. Ugi telah menghasilkan beberapa artikel akademik dalam jurnal antarabangsa serta beberapa buah buku berkaitan bidang kepakarannya. Antara buku beliau ialah: Islamic Public Finance: Kitab al-Amwal – Abu ‘Ubayd’s Concept of Public Finance (Kuala Lumpur: ISTAC-IIUM, 2005); Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-Isu Sentral (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 2007), Malaysia; Nafi, Isbat dan Kalam – Bunga Rampai Postulat Pemikiran Islam (Pimpin & Bentala, 2022), Indonesia.